FEBRUARI 2023

Ambil Alih Pelabuhan Bintulu, Perbincangan Dengan Kementerian Pengangkutan Perlu Diadakan


KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pelabuhan diberi peranan untuk membincangkan dengan Kementerian Pengangkutan (M0T) di Putrajaya berkaitan hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengambilalih Pelabuhan Bintulu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi arahan itu semasa mesyuarat bulanan Kabinet negeri di sini, semalam.

Pelabuhan Bintulu adalah pelabuhan persekutuan di bawah MoT dan Premier Sarawak memaklumkan hanya mahukan sebuah pelabuhan di Bintulu, katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina kementeriannya di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, perbincangan dengan MoT itu bukan mudah dan di Bintulu, negeri ini turut memiliki Pelabuhan Samalaju.

“Kita perlu berpandu kepada Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961 dan berharap dapat membentangkan Rang Undang-undang (RUU) itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung taun ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak mahu menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai sebahagian kluster pelabuhan di negeri ini di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan dmasukkan dalam undang-undang negeri.

Satu lagi tugas berat kementerian, katanya, ialah untuk mengkaji Pelan Induk Pelabuhan Sarawak dengan harapan untuk meningkatkan perkhidmatan pelabuhan, keselamatan pelabuhan melalui pemasangan Sistem Pengurusan Laluan Kapal (VTMS), kemudahan bantuan navigasi (AtoN), kren, kerja mengorek dan menerokai peluang perniagaan baharu.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk kajian itu yang bermula dengan Lembaga Pelabuhan Miri, tegas beliau dan menambah, Premier Sarawak juga mahu JKR dan DID menjamin projek yang diseliakan oleh kementerian siap mengikut jadual.

Uggah yakin dengan kerjasama erat dan sokongan semua agensi dan pemegang taruh, semua projek yang dilaksanakan boleh siap mengikut jadual.

“Kita boleh belajar daripada kesilapan lalu, pengalaman menguruskan projek dan menggunakan teknologi membangunkan projek berkaitan,” tegas beliau.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada dua Timbalan Menteri iaitu Dato Majang Renggie dan Ir. Airdel Lariwoo atas bantuan serta sokongan mereka.

Mengenai pencapaian kementeriannya tahun lalu, Uggah berkata daripada RM7.724  juta untuk Belanja Mengurus, sebanyak RM7.548 juta atau 97.71 peratus telah dibelanjakan, manakala untuk Belanja Pembangunan, daripada RM942.991 juta diperuntukkan, sebanyak RM642.751 juta atau 68.18 peratus telah dibelanjakan.

Majang, Aidel, Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu, Setiausaha Tetap Kementerian, Chiew Chee Yaw dan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Richard Tajan hadir sama.

Sumber dari : Jiwa Bakti